Wednesday 17 February 2010

Bilakah Seseorang Dianggap Murtad?

Bilakah Seseorang Dianggap Murtad?

Wahai kaum Muslimin! Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah Tuhan Yang Maha Mencipta. Dia mencipta manusia dan mencipta Deen untuk manusia. Dan Dia telah memilih bahawa Deen untuk manusia adalah Islam.
FirmanNya, “Sesungguhnya Deen (yang diredhai) di sisi Allah itu hanyalah Islam” [TMQ Ali Imran (3):19] dan firmanNya, “Barangsiapa mencari selain Islam sebagai Deen, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya, dan di Hari Akhirat dia termasuk ke dalam orang-orang yang rugi” [TMQ Ali Imran (3):85].
Dalam ayat ini, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjelaskan dengan sejelas-jelasnya sehingga tidak ada makna lain lagi yang boleh ditafsir atau ditakwil oleh sesiapa pun bahawa hanya Islamlah satu-satunya Deen yang diterima oleh Allah untuk dianuti oleh manusia. Dengan kata lain, sesiapa sahaja yang tidak beragama dengan Islam atau yang pada asalnya beragama Islam kemudian keluar dari Islam, maka Allah sekali-kali tidak akan redha kepadanya. Maka, jika Allah tidak redha kepadanya, kita juga sebagai umat Islam tidak boleh redha kepadanya. Justeru, apakah kita akan redha dengan Lina Joy yang telah secara terang-terangan mengaku memeluk agama Nasrani?

Dalam penghakimannya, Hakim Ahmad Fairuz berkata, JPN mempunyai justifikasi untuk mendapat pengesahan penguasa agama Islam bahawa Lina Joy telah murtad sebelum meluluskan permohonan wanita itu untuk memadamkan perkataan ‘Islam’ daripada kad pengenalannya. Beliau berkata, jika JPN menerima pengakuan seseorang bahawa dia telah keluar agama Islam berasaskan pengisytiharan pemohon semata-mata, maka JPN mengambil risiko apabila menyatakan dia sebagai bukan Muslim sedangkan mengikut undang-undang Islam, orang itu masih belum murtad. ‘‘Ini semua akan mengakibatkan celaan daripada masyarakat Muslim. Atas sebab ini, saya percaya, JPN mengguna pakai dasar bahawa perakuan bersumpah sahaja tidak cukup untuk membolehkan perkataan ‘Islam’ dipadamkan daripada kad pengenalan seseorang Muslim,” katanya [UM 31/05/07].

Nampaknya, celaan masyarakat lebih diambil kira dari celaan Allah Subhanahu wa Ta’ala ke atas si murtad! Inilah kedudukan terkini ‘undang-undang Islam’ Malaysia, di mana walaupun seseorang itu telah membuat pengakuan atau pengisytiharan murtad, tetapi dia masih belum dikatakan murtad sehinggalah ‘disahkan’ oleh Mahkamah. Jadi, walaupun pada hakikatnya seseorang itu telah murtad, tetapi dari segi undang-undang, dia masih lagi seorang Muslim! Sekali lagi, kami ingin mengambil kesempatan untuk menjelaskan kepada mereka yang keliru bahawa murtadnya seseorang itu bukannya diukur dari ‘perintah’ Mahkamah Syariah, tetapi diukur dari i’tiqad, perbuatan atau perkataannya. Mahkamah tidak boleh menjadi penentu kemurtadan seseorang. Murtad datangnya dari ‘qalbu’, bukannya dari perintah seseorang qadhi. Menurut Syeikh Abdurrahman al-Maliki, di dalam kitabnya, Nidzamul Uqubat Fi al-Islam, seorang Islam itu akan jatuh kafir (murtad) dengan empat indikasi seperti berikut,
(1) dengan keyakinan (i’tiqad),
(2) dengan keraguan (syak),
(3) dengan perkataan (al-qaul),
(4) dengan perbuatan
- Pertama, dengan keyakinan. Ini dilihat dari dua sisi; (a) meyakini dengan pasti sesuatu yang berlawanan dengan apa yang diperintah, atau yang dilarang. Contohnya meyakini bahawa Allah memiliki sekutu atau meyakini bahawa Al-Quran bukanlah Kalamullah (b) mengingkari sesuatu yang sudah maklum dalam masalah agama seperti mengingkari jihad, mengingkari keharaman khamar, mengingkari hukum potong tangan, dan lain-lain.
-Kedua, keraguan dalam berakidah dan semua hal yang dalilnya qath’i. Contohnya, ragu bahawa Allah itu satu; ragu bahawa Muhammad Salallahu 'alaihi wa Sallam adalah Rasulullah; atau ragu tentang hukum sebat bagi penzina dan seumpamanya.
-Ketiga, dengan perkataan yang jelas, tidak perlu ditafsirkan atau dita’wilkan lagi. Contohnya, seseorang yang mengatakan (termasuk membuat pengisytiharan) bahawa dia telah keluar dari Islam dan memeluk agama baru, mengatakan atau mengakui bahawa Isa adalah anak Allah, Muhammad bukan nabi, dan lain-lain. Sedangkan perkataan yang masih belum jelas, atau masih perlu dita’wilkan maka tidak memurtadkan pengucapnya.
-Keempat, dengan perbuatan yang jelas tanpa perlu ta’wil lagi. Contohnya, menyembah berhala, melakukan ibadat di gereja dengan tata cara ala gereja, sembahyang di Kuil Hindu dengan amalan ritual Hindu dan lain-lain. Sedangkan perbuatan yang belum jelas, tidak mengkafirkan pelakunya seperti masuk ke gereja, membaca Injil, dan lain-lain. Oleh kerana manusia adalah makhluk Allah dan Allahlah yang mencipta agama untuk manusia, maka sesiapa sahaja yang keluar atau tidak beragama dengan agama Allah (Islam), maka, Allah jualah yang berhak menentukan hukuman baginya.

Untuk golongan yang keluar dari agama Allah ini, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberi khabar ancam bahawa, "Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya." [TMQ Al-Baqarah (2):217]. Dan Allah telah menetapkan hukuman ke atas mereka yang murtad melalui lisan NabiNya bahawa, “Sesiapa sahaja yang menukar agama (Islam)nya, maka bunuhlah dia” [HR Bukhari]. Inilah ketetapan dari Pencipta manusia dan Pencipta agama Islam.
(Sila rujuk Sautun Nahdhah bertajuk ‘250,000 Murtad: Masihkah Kita Ingin Berdiam Diri?’ untuk perbincangan lanjut mengenai hukum ke atas orang yang murtad). sumber: ILUVISLAM.COM

No comments:

Post a Comment