Friday 23 April 2010

Mengejar Ijazah dibalik tirai besi

Banduan dapat hidayah peluk Islam, peroleh CGPA 3.00
TEMU bual pesalah kes bunuh di Penjara Kajang.
TEMU bual pesalah kes bunuh di Penjara Kajang.

KAJANG: Walaupun berada di sebalik tirai besi sejak berusia 14 tahun, ia tidak mematahkan semangat seorang anak muda berusia 24 tahun dari Kota Marudu, Sabah untuk menggenggam segulung ijazah apabila ditawarkan mengikuti pengajian Pentadbiran Perniagaan Universiti Terbuka Malaysia di Sekolah Integriti Kajang (SIK).

Harapannya hanya satu sekiranya dibebaskan dengan restu Sultan Selangor, beliau ingin membahagiakan keluarganya dengan bekerja secara halal selain berusaha menyebarkan agama Islam kepada ibu dan bapanya yang beragama Kristian. Katanya, berada di penjara tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan pengajian sehingga memperoleh keputusan Nilai Purata Gred Keseluruhan (CGPA) 3.00 pada semester lalu.


“Satu kebanggaan buat diri ini yang bersekolah setakat Tingkatan Satu saja, apa yang saya lalui terlalu banyak hikmahnya dan paling berkesan di hati apabila mendapat hidayah daripada Allah untuk memeluk Islam pada 2002.

“Sebelum ini saya tidak suka Islam tetapi selama di penjara perasaan meronta-ronta untuk mendalami agama ini terlalu tebal, justeru, saya mengorak langkah awal dengan lepak di surau penjara selama dua bulan sehingga saya dapat rasakan keindahannya apabila mendengar ayat suci al-Quran,” katanya di Kompleks Penjara Kajang di sini, baru-baru ini.

Beliau berada di penjara itu sejak 2001 apabila didapati bersalah melakukan pembunuhan pada 2005 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, dan dihukum penjara selama diperkenan Sultan Selangor mengikut Akta Kanak-Kanak.
Lelaki keturunan Dusun itu bersalah membunuh seorang wanita dan anak perempuannya, berikutan didorong rasa tekanan tinggi selain terlalu mengikut hati remajanya yang ketika itu baru mencecah 14 tahun.

Katanya, sejarah hitam itu langsung tidak ada dalam memorinya tetapi pada tarikh keramat itu beliau hanya mampu mengingati peristiwa mengayuh basikal yang dicuri dari lokasi pembunuhan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.

“Saya memang tidak sedar dan percaya tangan ini yang melakukan semua itu, bagaikan mimpi. Saya langsung tidak ingat peristiwa itu sehingga polis menunjukkan gambar mangsa yang saya rasa sangat teruk keadaannya.

“Tapi saya reda dengan apa berlaku, banyak hikmahnya... saya terlalu menyesal dan bertaubat, cuma saya harapkan rasa kasihan orang ramai terutama Sultan Selangor dalam memberi pengampunan kepada saya,” katanya sambil merintih.

Anak keempat daripada enam adik beradik itu, kini berada pada tahun kedua semester keempat dan dijangka selesai pengajiannya dua tahun lagi.

“Harapan saya untuk berjaya menggunung dan sekiranya diberi peluang sudah pasti saya akan berusaha menjadi seorang insan berguna untuk agama, bangsa dan negara,” katanya sambil berdoa semoga Allah memberinya peluang kedua.

article ini diambil di Bharian Online

p/s: terjah2 lah Bharian Online byk info, thnk Bharian.
buat aku semangat dh belajar!

No comments:

Post a Comment