Saturday 8 May 2010

Lima gerabak kereta api tergelincir

PADANG BESAR: Lima gerabak kereta api yang membawa muatan getah keping dari Thailand, terbalik selepas tergelincir daripada landasan berhampiran kawasan Felda Rimba Mas, dekat sini, petang semalam.

Kejadian berlaku jam 2.40 petang apabila semua lima gerabak yang berada paling belakang itu tergelincir selepas kira-kira dua kilometer (km) meninggalkan Stesen Padang Besar, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Deputi Superintendan Md Rafae Hassan, ketika ditemui mengesahkan insiden terbabit, bagaimanapun punca kejadian masih disiasat.


Berdasarkan maklumat, katanya ketika kejadian kereta api terbabit dalam perjalanan dari Thailand menghala ke Prai, Pulau Pinang sebelum lima gerabak itu tergelincir dan terbalik.

“Kami sudah menghantar anggota untuk melakukan pemantauan sebaik laporan diterima. Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kebocoran gas dilaporkan berlaku.

“Ketika ini, usaha memindahkan gerabak yang masih tersadai itu, termasuk urusan baik pulih landasan dijalankan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB),” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian semalam mendapati pekerja KTMB bertungkus-lumus memindahkan semua lima gerabak terbabit dari landasan. Bagaimanapun, usaha mendapatkan penjelasan daripada KTMB di lokasi terbabit semalam gagal.

Namun, beberapa sumber KTMB ketika dihubungi mengesahkan berlaku gangguan operasi terutama membabitkan perjalanan kereta api kontena antara Stesen Padang Besar dan Bukit Keteri, di sini.

“Bagi kereta api penumpang, KTMB terpaksa mengambil langkah alternatif memindahkan penumpang melalui laluan darat, sebagai transit sebelum meneruskan perjalanan di stesen berikutnya ke destinasi masing-masing.

“Apapun, usaha giat dijalankan untuk mengatasi masalah berkenaan secepat mungkin,” katanya.

No comments:

Post a Comment